Ikuti Blog ini

Anwar angkat sumpah sebagai ahli Parlimen dan ketua pembangkang esok


Wednesday, 27 August 2008

http://buletinonline.net/images/Berita10/anwarwave.jpgPenasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen esok, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.


Pandikar Amin mengumumkan perkara itu sebelum memulakan sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.


“Keputusan Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dah pun keluar dan keputusannya berpihak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, jadi beliau akan mengangkat sumpah esok,” katanya.


Beliau berkata segala urusan angkat sumpah dan aturan mesyuarat akan dimaklumkan kepada dewan kemudian.


Dalam perkembangan yang sama, Anwar juga akan memulakan tugasnya sebagai Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat esok.


Ketua Whip PKR, Mohd. Azmin Ali berkata, beliau akan menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi memaklumkan pemilihan Anwar itu.


``Surat itu akan diserahkan petang ini,'' kata Azmin di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemenangan Anwar adalah sesuatu yang dijangkakan dan harus diterima kerana ia adalah merupakan suara rakyat.

Bernama melaporkan keputusan itu juga menunjukkan bahawa cara berfikir pengundi sudah berubah di mana mereka mahu "satu yang lebih adil, yang tidak berasaskan perkauman, yang berdasarkan profil rakyat Malaysia yang berbagai bangsa dan agama...UMNO perlu bersedia buat perubahan," tegas Muhyiddin.


Akhbar Indonesia


Dalam perkembangan lain, berita kemenangan Anwar turut disiarkan oleh akhbar-akhbar utama di sini, termasuk Media Indonesia yang menyiarkannya di muka depan hari ini.

Media Indonesia menyiarkan gambar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang bersongkok tersenyum dan mengangkat ibu jari ketika sedang memasukkan kertas undi ke dalam peti undi dumuka depan akhbar tersebut

Dengan memetik laporan agensi berita asing, akhbar itu menyebut, "Kemenangan ini membuatnya kembali ke Parlimen. Jalan menuju kerusi perdana menteri pun semakin terbuka."

Akhbar Republika pula menyiarkan ringkasan di muka depannya di bawah tajuk 'Umno: Kami Kalah' dan beritanya di halaman 11 pula memetik pengakuan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai berkata: "Ya, tentu saja kami kalah. Kami memang 'underdog' dalam pertarungan ini."

Muhammad juga dilaporkan menyangkal kemungkinan Anwar untuk mengambil alih pemerintahan sekarang kerana jika pembangkang ingin membentuk kerajaan mereka harus mendapatkan mandat rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Akhbar Kompas yang memetik laporan agensi-agensi berita asing, turut menyiarkan berita kemenangan Anwar di muka sembilannya beserta kronologi Anwar bermula dari pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .