Ikuti Blog ini

Pakatan Rakyat Menang - Anwar benar, Najib salah !

Wednesday, 27 August 2008
http://buletinonline.net/images/Berita10/anwarbenarnajibsalah.jpg
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menang besar kembali ke Parlimen setelah meninggalkannya lebih 10 tahun.

Sekaligus PKR mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila calon Pakatan Rakyat itu menang dengan majoriti 15,671 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu semalam.

Keputusan rasmi yang diumumkan sekitar jam 10.00 malam semalam, Anwar, 61, memperolehi 31,195 undi sementara lawannya dari Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, mendapat 15,524 undi manakala calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat, 61, hilang wang pertaruhan setelah hanya mendapat 92 undi.

Agensi Bernama melaporkan kemenangan Anwar itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Roslan Yahaya di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun di sini.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran peletakan jawatan Presiden PKR Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai anggota Parlimen pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar, untuk bertanding.

http://buletinonline.net/images/Berita10/cover_inside.jpgPenamaan calon bagi Pilihanraya Kecil Permatang Pauh diputuskan oleh SPR pada 15hb Ogos lalu dan masa untuk berkempen selama 10 hari sehingga hari mengundi pada 26 Ogos semalam.

Isu yang Dominan

Cabaran getir bagi Anwar menghadapi kempen telah bermula sehari sebelum penamaan calon, apabila Saiful Bukhari yang menuduh Anwar melakukan sodomi keatasnya telah melakukan sumpah laknat dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan.

Majlis 'sumpah' itu turut dihadiri sama oleh Imam masjid tersebut, Ustaz Ramlan Porigi yang seolah-olah bertindak sebagai penerima atau orang yang mengesahkan sumpah itu.

Walaupun Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak mengatakan, 'sumpah' tersebut bukan suatu agenda politik, namun 'peristiwa sumpah' Saiful itulah menjadi modal utama setiap kali ceramah diadakan oleh UMNO/ BN dan dilihat menjadi satu isu dominan sepanjang tarikh berkempen.

Kehadiran Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat bersama-sama puluhan ribu ahli dan penyokong PKR, PAS dan DAP pada hari penamaan calon telah memberikan impak positif dan menjadikan isu sumpah Saiful agak ‘kelabu’.

Ia diikuti dengan kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abd Hadi Awang dan beberapa ulamak lain, yang dengan tegas menolak sumpah laknat Saiful.

Namun begitu, dengan penguasaan UMNO/BN keatas beberapa akhbar utama dan media elektronik Negara, isu sumpah Saiful diperbesar-besarkan dan hampir-hampir dapat mempengaruhi pengundi Melayu Islam untuk menolak Anwar, sedang undi bukan Melayu tetap padu.

Anwar terus diasak bagi membuktikan dirinya tidak bersalah dengan melakukan sumpah yang serupa, namun beliau dapat bertahan dan terselamat dari perangkap UMNO/BN.

Sehari sebelum hari mengundi, Ramlan Porigi telah mendedahkan segala-galanya tentang apa yang sebenarnya berlaku disebalik peristiwa majlis sumpah Saiful.

Pengakuan Ramlan bahawa Najib yang telah mengaturkan segalanya dalam majlis sumpah Saiful telah meletakkan Najib dalam kandang orang yang bersalah sekaligus tamparan ‘checkmate’ kepada semua langkah serangan UMNO/BN.

Sekali lagi pemimpin spiritual PAS, Tok Guru Nik Aziz yang hadir membantu kempen Anwar dengan melengkapkan program munajat dihari ketiga meninggalkan kesan kedalam jiwa orang Melayu Islam di Permatang Pauh.

Tindakan Ramlan yang berstatus ‘ustaz’ berjumpa dengan Tok Guru Nik Aziz selepas membuat pendedahan tentang keterlibatan beliau, memberikan satu pengiktirafan rohani dan membersihkan keterlanjuran beliau.

Pengkuan Ramlan penting dianggap sebagai suci dan murni bagi menghilangkan najis kekotoran yang telah dilemparkan kepada imej Anwar sebagai seorang pemimpin besar.

Walaupun ‘klimaks’nya, Najib mengharapkan pendedahan ‘seluar dalam’ pada hari terakhir akan mampu memutarkan kembali kepercayaan pengundi Melayu Islam terhadap beliau, namun segalanya sudah terlambat.

Pengundi Melayu Islam di Permatang Pauh telah pun membuat keputusan, Anwar benar dan Najib salah !

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .