Ikuti Blog ini

Dewan Ulamak PAS perlu jadi alternatif kepada mufti


Dewan ulama PAS (DUPP) sejak kebelakangan ini sering dikritik dan dipersoal oleh masyarakat dari luar dan dalam PAS sendiri. Paling ketara ketika menyokong kenyataan Tuan Guru Presiden mengenai isu muzakarah/muqabalah melalui Ketua Penerangannya.

Umpama ada yang menunggu dan menerkam apabila DUPP bersuara. Kini pandangan Hj Mat Sabu cuba dimainkan pula oleh media sebagai satu alat untuk mengumpan DUPP bersuara, bagi mewujudkan kononnya percanggahan itu suatu yang besar. Sedangkan mereka tidak memahami bahawa Islam membenarkan kepelbagaian pendangan dan pendapat sebagai medan mematangkan keputusan.

DUPP perlu menzahirkan peranannya di medan siasah bagi mengelakkan pandangan mengatakan bahawa DUPP tidak berfungsi. DUPP sebagai dewan yang mempunyai autoriti kepada keilmuan Islam harus ke depan menterjemah semua isu dan masalah dari kacamata Islam, bagi mengelakkan medan didominasi hanya oleh golongan sekular.

Melihat kepada suasana politik negara, terlalu banyak peristiwa yang berlaku memerlukan kepada penyelesaian dari sudut Islam. Suasana ini sebenarnya secara tidak langsung memperlihatkan kelemahan peranan mufti dan majlis fatwa untuk berperanan menyelesaikan kemelut yang melanda umat Islam.

Sebagai contoh isu berkenaan sumpah yang mewujudkan pertikaian di dalam masyarakat sehinggakan masyarakat tidak memahami situasi sebenar yang berlaku, apabila isu ini dipolitikkan oleh BN bagi meraih sokongan rakyat di Permatang Pauh. Isu ini juga mengakibatkan fitnah dijadikan permainan untuk menjatuhkan lawan masing-masing.

Disebabkan isu ini juga timbul pelbagai pendapat dan pandangan dari orang perseorangan di dalam PAS, menunjukkan tidak ada pendapat yang betul-betul dilihat mewakili PAS walaupun Tok guru Mursyidul Am telah memberikan pandangan beliau. DUPP perlu sekurang-kurangnya menyokong pendapat ini.

Di dalam isu ini juga, media dilihat menonjolkan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, walaupun itu lebih kepada pandangan pribadi. Di sini DUPP sepatutnya memberikan penjelasan dari sudut ilmiah bagaimana isu ini patut diselesaikan. Ini kerana masyarakat akan semakin tersesat dengan fitnah-fitnah yang dibangkitkan.

Selain itu terlalu banyak lagi isu seperti sambutan hari pahlawan di tugu negara, konsert maksiat, isu pelaburan internet dan lain-lain. Semua isu ini memerlukan pendapat dari ilmuan Islam sebagai tempat umat Islam berpaut.

Disinilah DUPP perlu dilihat sebagai alternatif kepada institusi mufti dan majlis fatwa yang hanya bergerak mengikut jari telunjuk kerajaan. Walaupun ada beberapa mufti yang dilihat agak vokal, tetapi itu masih tidak cukup sebagai faktor pendesak kepada setiap keputusan kerajaan pemerintah.

DUPP juga mesti berperanan sebagai sandaran dan rujukan ilmu Islam kepada masyarakat. Mengambil peluang suasana perubahan angin politik pada PRU ke 12, DUPP mesti memainkan peranannya bagi merealisasikan PAS sebagai Parti Dakwah. Lebih ruang perlu disediakan bagi menampung kepelbagaian mad'u yang datang dengan pelbagai persoalan tentang Islam. Disinilah peluang untuk kita menjadikan Islam sebagai penyelesai masalah.

Jika Pemuda berperanan menggerakkan Jamaah dengan jiwa pemuda yang berani dan bersemangat, dibelakang mereka ulamaklah yang memotivasi perjuangan dengan kefahaman kepada Islam, jihad dan perjuangan.

Semoga Dewan Ulamak terus mara kehadapan mempelopori slogan "Bersama Kepimpinan ulamak".

“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan diantara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.” (QS. At Taubah:122)
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .