Maka Jumaat ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam akan menjadi perhatian orang ramai dan media, apabila Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin menyampaikan keputusannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Keputusan Mohd Zaki bukan sahaja menjadi debaran kepada tiga tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar (kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas, UTK) dan penganalisis politik tanah air Abdul Razak Abdullah Baginda malahan kepada para pemerhati politik dan orang ramai. Kes berprofil tinggi ini mencetuskan pelbagai spekulasi sehinggakan nama seorang pemimpin negara pernah dikaitkan dan menyaksikan babak-babak yang mengejutkan pada sepanjang prosiding. Kes pembunuhan Altantuya di mana mayatnya dilupus menggunakan bahan letupan di Puncak Alam berlarutan hampir dua tahun dan pihak pendakwaan akhirnya menutup kes pada 23 Jun lepas. Sekiranya keputusan hakim memihak kepada pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh, mereka akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya kesemua mereka akan dilepas dan dibebaskan.
Semua Tertuduh Yakin Akan Dibebaskan
Ketika ditanya semasa perbicaraan apakah yang akan dilakukan sekiranya dibebaskan, Azilah, 32, yang mempunyai seorang anak angkat walaupun belum berkahwin berkata "terlalu banyak hendak dibuat, tetapi saya nak lepaskan rindu pada anak dahulu dengan memeluknya dan buat kenduri kesyukuran". Sirul Azhar, 36, pula hanya tersenyum dan sememangnya anggota UTK yang berkhidmat sebagai pengiring orang kenamaan ini amat sukar meluahkan perasaan. Beliau lebih banyak berdiam diri ketika di kandang tertuduh tetapi gemar meminta asam dan gula-gula daripda wartawan yang berada di belakangnya bagi menghilangkan rasa mengantuk. Abdul Razak, 48, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia pula menyatakan beliau berhasrat untuk bersama anak perempuan tunggalnya Rowena ke luar negara setelah semuanya selesai nanti.
Beliau sentiasa ditemani isteri, Mazlinda Makhzan, kedua ibu bapa dan ahli keluarga terdekat sepanjang perbicaraan tetapi pada peringkat awal, kehadiran Mazlinda tidak disenangi bapa Altantuya, Shaariibuu Setev yang menyatakan wanita itu telah mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya hingga memaksa anggota keselamatan memastikan kedua-dua mereka tidak bertembung. Sepanjang perbicaraan kes ini pelbagai peristiwa telah berlaku yang bukan sahaja melibatkan pertukaran hakim dan pendakwaan malah timbul juga perebutan antara dua peguam untuk mewakili tertuduh.
Gangguan Semasa Prosiding Berlangsung
Selain itu, gelagat Abdul Razak juga kadang-kala mengejutkan dengan beliau beberapa kali mengamuk dengan menendang pagar kandang tertuduh dan "menyumpah orang tertentu". Dia adalah tertuduh yang paling kerap meminta peguamnya Wong Kian Kheong memohon perbicaraan dipercepatkan tanpa sebarang penangguhan hingga memaksa Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah menempelak Wong dengan berkata bukan Abdul Razak seorang sahaja yang berada dalam penjara.
Kehadiran bilangan besar orang awam yang ada di antaranya berperangai 'pelik' ketika perbicaraan juga menunjukkan ada yang mahu mengambil kesempatan daripada publisiti meluas akan kes pembunuhan ini. Mungkin pembaca tidak lupa kehadiran seorang wanita yang berpakaian seperti peguam yang mendakwa dirinya mewakili satu badan keamanan serta diberi kuasa oleh pegawai tertinggi polis dan Jabatan Peguam Negara. Beliau tidak mahu duduk di kerusi bahagian belakang setiap kali hadir dan pernah memaksa polis mahkamah meletakkan kerusi khas untuknya. Beliau bukan sahaja sering menunjukkan aksi kurang senang dengan barisan pendakwa raya dan peguam malah ketika hakim bercakap dia akan menyampuk.
Akhirnya satu laporan polis dibuat terhadapnya bagi mengelak prosiding terus terganggu yang bukan sahaja melibatkan suara rungutannya tetapi juga bunyi dua telefon bimbitnya. Pernah juga di awal perbicaraan muncul seorang wanita (wanita lain dari tadi) mendakwa dirinya mewakili satu organisasi hak wanita dengan membawa poster mengutuk Abdul Razak kerana menurutnya telah membunuh wanita dengan kejam. Demonstrasi yang dilakukan seorang diri itu mencetuskan kemarahan polis kerana menganggu orang ramai serta perbicaraan yang sedang berlangsung hingga memaksa polis mengeluarkan amaran untuk membawanya keluar daripada perkarangan mahkamah.
Bagaimanapun, wanita lewat 40-an itu tanpa rasa takut berteriak dengan berkata, "Saya ada hak, polis cubalah halang saya dengan guna senjata api, biar orang awam jadi saksi", sedangkan ramai yang menyaksikan peristiwa itu sedar bahawa polis tidak membawa sebarang senjata pun. Ketika ditanya pemberita apakah perasaan Mazlinda melihatkan emosi orang ramai terhadap suaminya, beliau berkata, "Saya menyerahkannya kepada Allah. Razak tidak bersalah."
Perbicaraan Berlangsung Selama 151 Hari
Perwatakan Azilah dan Sirul Azhar (Foto: Sirul baju hijau dan Azilah baju hitam) yang menutup muka mereka ala-ninja menjadi ikutan tertuduh kes-kes lain dan ketika ditanya mengapa mereka berbuat begitu Azilah berkata "Hidup ini masih panjang, ada yang perlu disembunyikan." Sepanjang perbicaraan selama 151 hari ini juga berlaku peristiwa mengejutkan apabila seorang anggota polis mahkamah Lans Koperal Othman Abdul Rahman, 47, rebah semasa membawa masuk ketiga-tiga tertuduh ke bilik perbicaraan dan disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.
Mengimbas kembali isu yang dihujahkan sepanjang perbicaraan lepas, Azilah dan Sirul Azhar yang dituduh membunuh Altantuya antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara pukul 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt 2006 dikatakan mengambil bahan letupan jenis PE (Plastic Explosive), detonator cord dan CLC (cutting liner charge) dari stor UTK dan mereka sememangnya mempunyai kepakaran mengendalikan bahan letupan. Abdul Razak, yang didakwa bersubahat dengan dua anggota UTK itu pula didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Okt 2006 di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Lembaga Getah Asli Malaysia (LGAM), Jalan Ampang di Kuala Lumpur dan dia didakwa mempunyai motif dalam pembunuhan itu berikutan tekanan dan ugutan daripada Altantuya. Berdasarkan kepada keterangan saksi pendakwaan Deputi Supritendan Muhammad Koey Abdullah, bahan letupan itu berkemungkinan diletakkan dalam mulut dan bahagian atas badan Altantuya menyebabkan tulangnya berkecai manakala Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mohd Shah Mahmood pula berpendapat ketika itu Altantuya telahpun dibogelkan kerana tiada sebarang cebisan kain dijumpai di tempat kejadian.
6,000 Mukasurat Nota Prosiding, Hujah Dan Nas
Bagaimanapun peguam J. Kuldeep Kumar dan Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Azilah tetap menegaskan bahawa anak guamnya tidak terlibat dalam pembunuhan itu malah penemuan tempat kejadian di atas bukit itu juga bukanlah kerana ditunjukkan oleh Azilah kerana polis seolah-olah telahpun mengetahuinya terlebih dahulu. Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Marican dan Ahmad Zaidi Zainal juga meletakkan anak guam mereka sebagai orang yang tidak bersalah dan teraniaya kerana kehadiran barang kemas Altantuya di rumah Sirul Azhar dan darah Altantuya pada selipar yang dijumpai dalam jeep Sirul Azhar dikatakan amat meragukan kerana sepanjang perbicaraan timbul percanggahan keterangan daripada beberapa penyiasat dan kenderaannya ketika itu boleh diakses oleh orang lain. (Foto: Altantunya dirakamkan oleh ayahnya di rumah mereka)
Wong yang mewakili Abdul Razak pula menyatakan pembunuhan Altantuya tiada sebarang kaitan dengan anak guamnya dan tiada sebarang bentuk arahan pembunuhan dibuktikan sepanjang perbicaraan. Beliau juga menimbulkan keraguan mengapa pihak pendakwaan tidak memanggil beberapa pegawai kanan polis untuk memberi keterangan. Apa pun, segala hujahan dan keterangan dari 84 saksi akan dirangkumkan oleh hakim Mohd Zaki untuk membuat keputusan pada Jumaat ini yang akan meneliti 6,000 muka surat nota prosiding perbicaraan, hujah-hujah dan nas undang-undang yang telah dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak. Sebelum keputusan pertuduhan utama dibacakan, Mohd Zaki dijangka terlebih dahulu membuat keputusan terhadap permohonan pendakwaan untuk mencabar kredibiliti Lans Koperal Rohaniza Roslan (teman wanita Azilah) ketika memberi keterangan di mahkamah, keputusan bicara dalam perbicaraan tentang penemuan barang kemas Altantuya di rumah Sirul Azhar dan keputusan bicara dalam perbicaraan berhubung kenyataan polis bahawa Azilah yang menunjukkan tempat Altantuya dibunuh dan diletupkan. Walau apapun, semua pertuduhan dan spekulasi akan terjawab pada Jumaat ini apabila Mohd Zaki menyampaikan keputusan yang ditunggu-tunggukan ini esok.
[Biarpun keputusan akan diumumkan Jumaat ini, namun rakyat sudah dapat meneka apakah keputusan yang bakal diumumkan nanti. Seandainya Jika ketiga-tiga tertuduh dibebaskan sama seperti apa yang berlaku kepada Hanef Basree dalam kes Noritta Samsuddin dulu. Maka siapakah pembunuh sebenar Altantunya? Siapakah pula yang mengarahkan pengeluaran bom C4 dari stor UTK? Siapakah pula yang mengarah kedua-dua tertuduh terbabit berada dilokasi Altantunya berada. Tidak wujudkan satu keraguan tentang penglibatan "orang besar" dalam isu ini. Kenapa ia tidak dibongkarkan? Jika mereka tidak bersalah sekali pun. Kes ini tidak boleh ditutup !! Kerana ada satu "rahsia besar" yang perlu dihuraikan. Jika tidak, maka akan pincanglah sekali lagi badan kehakiman negara ini. Maka itu, rakyat harus bangkit agar keputusan kes ini mesti "ada pembunuhnya"!! Jika tidak, bagamaina Altantunya boleh mati dibom dengan menggunakan bom C4 yang hanya ada pada Angkatan Tentera Malaysia sahaja. Siapakah yang membenarkan bom itu digunakan untuk meletupkan mayat Altantunya?. Semua ini adalah satu urutan daripada misteri kes yang sedang menanti keputusan itu. Sila rujuk artikel terdahulu kami tentang perkara ini].