Kemaman - Persiapan Ijtima’ Kepimpinan PAS Negeri Terengganu Tahun 2008 yang akan diadakan pada 1 November depan sedang giat dijalankan. Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai yang menjadi tuan rumah Ijtima’ kali ini sedang membuat persiapan akhir dalam kerja-kerja menghadapi kehadiran lebih 5,000 orang peserta.
Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman, merangkap Ketua Persiapan Hj Hanafiah Mat (gambar) menyatakan demikian ketika ditemui baru-baru ini.
”Persiapan berjalan lancar dan sedang dikemaskini, mesyuarat terakhir akan dipanggil secepat mungkin,
“Ceramah Perdana akan diadakan di Kg. Mak Chili dan tempat perbahasan masih menunggu keputusan Majlis Perbandaran Kemaman,
”sekiranya dibenarkan kita akan gunakan Dewan Bandaran Dato’ Seri Amar DiRaja, jika tidak kita akan langsungkan di Taman Islam Kemaman,”kata beliau.
Menurutnya yang juga Pengerusi Majlis Tindakan DUN Chukai, tenaga petugas dan peserta sudah diarahkan untuk turun beramai-ramai bagi menjayakan program tahunan itu pada kali ini.
Istimewanya pada kali ini, kata beliau, penyokong dan peminat PAS dari kalangan kaum Tionghua dan bukan Islam akan turut hadir sama.
“Saya sudah berhubung dengan Kelab Penyokong PAS dan mereka sangat positif akan hadir bersama-sama meraikan pimpinan PAS,
“mereka mahu lihat sendiri kesungguhan pemimpin PAS menjalankan usaha untuk memerintah negeri ini semula pada pilihanraya umum yang ke 13 akan datang,”ujar beliau
”Saya akan cadangkan kepada mereka supaya membuat satu ‘kejutan’ menunjukkan kehadiran mereka dalam ijtima’ kali ini,
“saya akan meminta restu dari pimpinan, sekiranya dibenarkan mereka akan membuat persembahan ‘budaya’ bagi menyambut ketibaan Presiden,”tambah beliau yang mengatakan kehadiran mereka selaras dengan tema ‘PAS Untuk Semua’ yang menjadi tema Muktamar Tahunan PAS pada tahun ini.