KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof menggesa pihak kerajaan negeri membuat penilaian yang sebaik mungkin apabila mengurniakan sesuatu anugerah kepada mana-mana artis.
Kenyataan ini dikeluarkan ekoran bantahan Seniman mewakili artis tanahair terhadap penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada aktor Bollywood popular, Shah Rukh Khan sempena ulangtahun ke-70 Hari Jadi Yang DiPertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaakob pada Sabtu lalu.
“Ini hak mereka, kami tak larang mereka untuk beri anugerah itu, tapi kami harap ia diberi penilaian sebaik mungkin agar anugerah itu dihormati.
“Sabtu lalu, dia juga tidak menghadiri upacara tersebut dan kami rasa seperti satu penghinaan kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika sidang media bantahan Seniman di pejabat Finas, Hulu Kelang,kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
Menurut Mustapha, mereka patut bertanya kepada pihak yang bersesuaian seperti Finas mengenai kelayakan untuk memberikan anugerah kepada seseorang selebriti.
“Kami bukanlah terdesak dengan kementerian dan kerajaan negeri, tapi kami harapkan keadilan,” katanya.
Beliau turut menyuarakan nama artis lain yang lebih layak menerima anugerah seperti Azean Irdawaty, M. Nasir, Kuswadinata dan Ruminah Sidek atas sumbangan mereka kepada industri filem dan seni tanahair.
“Ikutkan, anak seni dan karyawan belakang kamera juga mempromosi bukan sahaja Melaka malah negara kita tetapi kenapa mereka tidak diberi perhatian.
“Kita harap mereka yang berjaya juga mendapat anugerah itu,” ulasnya dalam sidang media yang turut dihadiri oleh kira-kira 20 orang artis itu.
Antaranya adalah Harun Salim Bachik, Ahmad Idham, Datuk Aziz Sattar, Jalil Hamid, Arash Mohamad, Rahim Jailani, Mas Omar, Zulkifli Zain, Normala Omar, Datuk Jalaluddin Hassan dan Rusdi Ramli.
Menurutnya, Seniman akan menyerahkan surat bantahan kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) pada pukul 4 petang esok.
Dalam pada itu, pengarah filem pecah panggung Jangan Pandang Belakang Ahmad Idham Ahmad Nadzri menambah, berita tersebut memberikan tamparan hebat kepadanya.
“Apabila saya melihat akhbar pagi Sabtu yang lalu, saya rasa macam kena tampar, apa ini?
“Saya macam badut atau kita macam main-main dalam industri hiburan ini? Kita selalu meuar-uarkan tema ‘Filem Kita Wajah Kita’. Kalau nak kata bawa filem ke luar negara, filem saya pun bersepah dibawa ke luar negara.
“Apa yang saya tahu, belum pernah lagi artis yang berhak menentukan lokasi pengambaran filem atau drama,” tegasnya.
Sementara itu, pelakon Arash Mohamad pula berpendapat alasan kerajaan negeri Melaka mengurniakan gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan kerana mempromosikan A’ Famosa Resort, Alor Gajah melalui filem One Two Ka Four adalah tidak munasabah.
“Memanglah orang yang menonton filem tersebut mengenali Melaka, tetapi persoalannya adakah mereka datang ke negeri tersebut?
“Alasan itu membuatkan kami kecil hati. Kami bukan cemburu sebab tak dapat anugerah itu tetapi apa revelannya memberi kepada dia?,” luah Arash yang dikenali menerusi drama tempatan seperti siri Masih Ada Cinta dan Badai Metropolis.
Shah Rukh Khan yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka tahun ini. Tarikh penyampaian anugerah kepadanya belum ditetapkan lagi.
Sabtu lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata penganugerahan DMSM kepada Shah Rukh Khan adalah pelaburan yang mendatangkan banyak keuntungan balik kepada Melaka dari segi promosi secara percuma tanpa melibatkan wang.
Baguslah Seniman bersuara….Kera Dihutan Disusukan, Anak sendiri mati kelaparan………Adakah Ali Rustam nak tukar Wajah Melaka kepada Darul Hindustan………pastinya ramai rakyat Melaka yang kecewa kerana Ketua Menteri mereka lebih mengagungkan bintang Hindustan ini berbanding rakyat sendiri yang lebih banyak berjasa..