Apabila MCA, Gerakan dan lain-lain komponen Barisan Nasional menggasak Umno dalam isu perkauman sempit Melayu-Cina, Pakatan Rakyat tidak seharusnya terheret sama.
MCA dan Gerakan yang menuduh Umno parti pembuli, pemimpin Umno ‘racist’ - perkauman, pemimpin Umno harus ‘diISAkan’ kerana mencetuskan perkara-perkara sensitif khususnya dilihat boleh membawa kepada ketegangan kaum.
Pakatan Rakyat juga tidak seharusnya terperangkap dengan permainan kotor BN apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz mendakwa pembangkang mahu menghapuskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan kepentingan dan hak orang Melayu.
Kenyataan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sering diputarbelitkan oleh media massa. Beliau didakwa mahu menggadaikan prinsip Islam dan kepentingan Melayu jika berkuasa nanti.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga dibalas dengan pelbagai kecaman, kononnya DAP mendesak hak istimewa Melayu dihapuskan.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, suatu ketika dahulu (ketika masih Timbalan Presiden) sering menjadi sasaran media pro BN yang mendakwa beliau mahu menghapuskan hak istimewa Melayu.
Walhal, Ustaz Hadi mengemukakan prinsip keadilan Islam yang menerima kesamarataan, kepimpinan serta ketuanan atas nama Islam.
Malah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat sebelum pembentukan kerjasama Pakatan Rakyat lagi pernah berkata, PAS akan menerima siapa sahaja menjadi Ketua atau Perdana Menteri asalkan dia beragama Islam.
Oleh itu, rakyat, khususnya orang-orang Melayu harus fikirkan, apakah selama 62 tahun usia Umno, dan menjadi pemerintah negara sejak sebelum merdeka, bangsa Melayu dan agama Islam benar-benar terpelihara?
Orang-orang Melayu harus sedar daripada penipuan Umno/BN bahawa DAP adalah parti anti Islam dan anti Melayu yang akan merosakkan negara.
Jika hendak dituduh DAP anti Islam dan anti Melayu berdasarkan kenyataan-kenyataan pemimpin DAP yang terdahulu, bagaimana pula dengan memo sembilan Menteri bukan Islam kepada PM yang mencabar Islam tahun 2006 yang lalu?
Bagaimana pula dengan pelbagai tuntutan dan kecaman yang dilemparkan oleh MCA dan Gerakan terhadap Melayu Umno dalam perhimpunan mereka baru-baru ini?
Justeru, jangan sesekali kita rakyat Malaysia, terperangkap dengan ‘racist game’ yang membahayakan ini.
Pemimpin Umno memainkan sentimen kemelayuan, untuk mendapat sokongan dan pencalonan dalam pemilihan mereka yang berlangsung sekarang ini. Pemimpin Umno sudah tentu mahu kelihatan sebagai ultra Melayu.
Begitu juga dengan MCA dan Gerakan. Dalam keadaan masa depan politik mereka yang terumbang ambing, mereka tidak ada jalan lain kecuali meniup sentimen kecinaan dan menjadi ultra Cina untuk mengekalkan sokongan terhadap mereka.
Apa faedah yang rakyat akan dapat daripada kempen-kempen ultra bangsa yang digembar gemburkan pemimpin BN ini? Tidak ada! Mereka ‘useless’ semata-mata.
Ingatlah, Anwar sudah memberi jaminan berkali-kali bahawa keseluruhan kepentingan Islam dan hak istimewa orang-orang Melayu dalam Perlembagaan akan dipelihara sebaik-baiknya.
DAP juga dalam perbincangannya dengan KeADILan dan PAS, memperakukan janji bahawa semua yang dimaksudkan tersebut tidak akan dipersoalkan sama sekali.
Cumanya, ada konsensus dalam Pakatan Rakyat bahawa, di samping memelihara kepentingan Islam dan Melayu, keperluan dan kepentingan agama dan kaum lain juga harus dipelihara dengan lebih adil dan saksama.
Jerat perkauman PKNS
Dalam isu khusus di Selangor misalnya. Isu membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor atau PKNS ditubuhkan pada 1 Ogos 1964. Dalam perlembagaannya tidak diwajibkan secara jelas, PKNS mesti dipimpin oleh orang-orang Melayu.
Hanya sejak ditubuhkan sehingga sekarang, BN dan Umno seolah-olahnya menjadikan PKNS seperti hak mutlak Melayu.
Di sebalik serangan terhadap Kerajaan Negeri Selangor yang didakwa mengetepikan orang Melayu, malangnya kepada orang Melayu apabila didapati selepas 44 tahun BN berkuasa, kaum Cina menguasai 75 peratus perniagaan PKNS berbanding Melayu, hanya 25 peratus.
Isu tercetus apabila Pengurus Besarnya, Harun Salim bersara 31 Oktober lepas, dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Low Siew Moi, memangku jawatan Pengurus Besar, sementara menemui calon yang sesuai.
PKNS ada tiga Timbalan Pengurus Besar, selain dari Siew Moi (Perhubungan Korporat) ada dua orang lagi iaitu Md Nasir Md Arshad (Pentadbiran dan Pembangunan) dan Abdul Ghani Hashim (Teknikal).
Pelantikan tersebut dibantah keras oleh Pengerusi Umno Selangor, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo. Khalid didakwa mengenepikan orang Melayu, sebaliknya dilantik orang Cina.
Manakala Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Dr Hasan Mohd Ali turut tidak bersetuju dan mencadangkan perlantikan Siew Moi dibuat secara harian atau mingguan.
Dalam hal ini, nada Khir dan Hasan adalah sama, tidak setuju dengan Siew Moi, walaupun pendekatan masing-masing sedikit berbeza.
Manakala Ahli Parlimen DAP Kawasan PJ Utara, Tony Pua dalam reaksi berbeza mendakwa PAS ’salah faham’, berikutan kenyataan Dr Hasan.
Katanya, “Keturunan pengurus besar tersebut tidak patut dipersoalkan sama sekali. Adalah mengecewakan apabila bantahan (terhadap pelantikan Low), dibuat berasaskan perspektif kaum dan tidak dari segi kualitinya,” kata Pua.
Dalam hal ini, beliau berharap, PAS tidak akan hanya melihat pada perkara yang kecil semata-mata, tetapi juga turut mengambil kira soal yang lebih besar daripada itu.
Melihat kepada kriteria perlantikan, Khalid pada asasnya adalah orang ekonomi dan akaun, jarang sekali beliau membuat keputusan berdasarkan politik. Perlantikan Siew Moi tidak ada kena mengena dengan soal bangsa atau kaum.
Difahamkan selepas pertemuan dibuat Khalid dengan ketiga-tiga mereka, Khalid mendapati Siew Moi lebih layak memangku jawatan kerana mahir dalam urusan akaun dan pengetahuan perancangan perniagaan korporat PKNS.
Dua orang lain, walaupun berketurunan Melayu, bertugas dalam bidang Human Resource dan Teknikal.
Oleh itu dalam hal ini, tidak wajar menuduh Khalid membelakangkan orang Melayu kerana melantik orang Cina, kerana Khalid sudah menegaskan, pelantikan ini dibuat hanya sementara menanti calon yang sesuai.
Khalid selaku CEO GLC Selangor, memang berhak melantik, sesiapa sahaja yang layak menjadi Pengurus Besar PKNS, bukan sahaja di antara ketiga-tiga mereka sahaja.
Jika kerajaan negeri sudah mengetahui lebih awal bahawa Harun Salim hendak bersara, mereka boleh berusaha mengelakkan perbezaan pendapat sesama pemimpin.
Jangan sampai ’sudah hendak terberak baru hendak mencari lubang’. Sedarlah bahawa kenyataan yang sering bercanggahan antara KeADILan, PAS dan DAP, ia tidak baik untuk sebuah pakatan.
Walaupun MB ada kuasa eksekutif, zaman sudah berbeza. Zaman ini rakyat tidak menerima ‘absolute power’ atau ‘executive one man decision’. Itu zaman Khir Toyo. Rakyat berbilang kaum di negara, mahukan Pakatan Rakyat mentadbir negeri secara konsensus.
Tanpa menafikan kuasa eksekutif MB dari sudut perlembagaan negeri, namun ada baiknya pemimpin ketiga-tiga parti KeADILan, PAS dan DAP, sama ada sendiri Khalid, Dr Hasan mahupun Teresa Kok, harus sentiasa duduk semeja mencari kesepakatan.
Pakatan Rakyat harus beringat, musuh-musuh yang hendak melaga-lagakan mereka begitu ramai. Harus lebih berhati-hari terhadap media massa yang dikuasai BN, kerana mereka sering menjadi dalang yang menyemarakkan api perkauman.