Selepas negara kita merdeka, kita telah pun mempunyai 5 orang Perdana Menteri yang kesemuanya berbangsa Melayu dan berugama Islam. Masing-masing kesemuanya dari Parti UMNO iaitu sebuah parti sekular bersifat kebangsaan. Meskipun terdapat di dalamnya ramai dari golongan ahli ugama, termasuk yang digelar ulamak, namun tidak seorang pun yang mampu mengubah dasar UMNO daripada dasar kebangsaannya. Malahan kesemua daripada Perdana Menteri yang telah dan sedang berkuasa tidak langsung mencerminkan pemimpin yang berjiwa Islam. Mereka gagal membentuk sakhsiah diri mereka, isteri dan keluarga mereka untuk menjiwai Islam. Mereka bukan sahaja gagal untuk memartabatkan Islam sebagai dasar pemerintahan, bahkan untuk melaksanakan hukum Islam terhadap diri sendiri dan keluarga mereka pun mereka tidak mampu.
Sampai bilakah kita akan mendapat seorang Perdana Menteri yang sekurang-kurangnya telah menunjukkan peribadi dan teladan yang baik kepada rakyat. Kita impikan seorang Perdana Menteri yang pro Islam, berakhlak mulia dan keluarganya yang sentiasa menjaga tatasusila yang baik, serta isterinya yang sentiasa menjaga aurat. Di antara kelima-lima Perdana Menteri Malaysia, siapakah Perdana Menteri yang isterinya sentiasa menutup aurat? Jawabnya tiada kerana bagi UMNO itu adalah perkara peribadi dan remeh, bahkan tidak seorang pun golongan agama di dalam UMNO yang berani menegur pemimpin mereka berkaitan isu menutup aurat ini. Sewaktu Pak Lah mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun Mahathir, kita berbaik sangka dan mengharapkan inilah pemimpin yang kita nanti-nantikan, tambahan pula di awal pemerintahannya media mempamirkan bagaimana Pak Lah menjadi Imam sembahyang dan berkhutbah Jumaat. Namun kita hampa apabila melihat Pak Lah gagal membimbing isterinya untuk menutup aurat. Terlepas lagi peluang kita untuk mempunyai Perdana Menteri yang mampu menegakkan hukum Islam yang asas terhadap diri dan keluarga sendiri. Sekiranya perkara asas yang begitu mudah itu pun beliau tidak boleh laksanakan, usahlah bermimpi untuk kita mengharapkan beliau akan memerintah berdasarkan dasar dan prinsip Islam. Bahkan, semakin kuat laungan Islam Hadhari, semakin banyak berlaku kezaliman, ketidak adilan dan berbagai masalah sosial yang berlaku.
Tidak beberapa lama lagi kita mungkin akan menerima Perdana Menteri yang ke enam. Sudah tentu UMNO kini berkira-kira bahawa Najib akan menerajui kerajaan selepas Pak Lah. Adakah Najib lebih komited Islamnya daripada Pak Lah? Mungkin Najib berupaya juga untuk menjadi Imam sembahyang (walaupun penulis tidak pernah melihatnya menjadi Imam) ataupun Najib lebih lantang khutbah Jumaatnya dari Pak Lah. Tetapi, saya tidak pasti selepas Najib menjadi Perdana Menteri nanti, isterinya akan berubah dan menutup auratnya. Saya lebih suka bersangka baik, walaupun keadaan sekarang isteri Najib tidak kelihatan seperti isteri seorang pemimpin yang berjiwa Islam.
Selepas kita buat perbandingan keperibadian pemimpin-pemimpin UMNO tersebut, kita lihat pula pemimpin-pemimpin seperti DS Anwar dan juga Tn Guru Hj Hadi. Teliti dengan mata kasar dan baca dengan isi hati kita masing-masing perbezaan tokoh-tokoh ini. DS Anwar semenjak beliau di dalam ABIM sehinggalah terjerumus ke dalam UMNO dan kini berada di luar UMNO, beliau tetap tidak berubah dari segi keperibadiannya termasuk isteri dan anak-anaknya. DS Anwar juga mampu diangkat sebagai Imam sembahyang, mampu berkhutbah tanpa teks dan mempunyai isteri yang sentiasa menjaga aurat dan kehormatan dirinya. Memang terlalu jauh untuk kita membandingkan dengan Tn Guru Hj Hadi atau Tn Guru Nik Aziz kerana kedua-dua mereka bukan sahaja seorang ahli politik tetapi juga seorang ulamak. Sememangnya sungguh bertuah sekiranya negara kita dipimpin oleh kedua-dua ulamak ini, tetapi paling tidak pun kita boleh berbangga jika mempunyai seorang Perdana Menteri seperti DS Anwar.
Seandainya hati dan jiwa kita ada secebis keimanan, sudah tentu kita mahu melihat pemimpin yang memimpin negara ini terdiri dari mereka yang berjiwa Islam. Pemimpin yang ikhlas berjuang untuk Islam mestilah melaksanakan hak Islam itu ke atas dirinya dan keluarganya terlebih dahulu. Mudah-mudahan kita akan berpeluang melihat Perdana Menteri yang akan datang nanti berjiwa Islam sebelum kita melihat Islam itu sendiri ditegakkan di bumi Malaysia ini. Semoga Allah panjangkan usia kita sehingga kita dapat melihat Islam didaulatkan di negara ini dan fahaman kebangsaan serta sekular terkubur sehingga hari kiamat, InsyaAllah.