Ikuti Blog ini

RASUAH POLITIK DALAM UMNO: BARAH PERINGKAT KE 4




Bukan politik wang, sebenarnya rasuah politik, tetapi hendak bagi nampak cantik Umno tukar jenama dengan nama politik wang. Kalau sebut rasuah nampak jijik sangat. Kalau guna istilah rasuah politik Nampak baik sikit. Cuma istilah yang dijenama semula sahaja. Biasalah Umno yang memang bijak berlakon dan bijak bermain istilah.

Apa yang berlaku adalah bala kepada Umno, kerana dalam setiap kali PRU di negara ini mereka merasuah pengundi. Kalau sesama Umno pun mereka guna pendekatan rasuah untuk menang, telahan lagi dengan orang lain yang berlainan ideologi dalam PRU di negara ini.

Mengikut Tengku Ahmad Rhithaudden (U.Malaysia 24/10/2008) Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti Umno, rasuah berluasa sejak 20 tahun kebelakangan ini. Tengku Ahmad Rithauddeen memberitahu bahawa beliau pernah mendengar cerita ada Ketua cawangan UMNO yang pulang menaiki kereta Kancil baru selepas Perhimpunan Agung.Katanya, cerita seumpama itu memalukan UMNO dan jelas memperlihatkan bahawa politik wang sudah menjadi satu budaya yang kini berada dalam teras UMNO itu sendiri. Namun kata beliau, sikap yang ditunjukkan semua pihak ialah lebih ramai yang bertanding adalah sesuatu yang menggembirakan kerana lebih banyak wang yang akan diterima.


Ini Ini bermakna rasuah politik dalam Umno rancak di era Umno di bawah kepimpinan Dr. Mahathir selama 22 tahun. Zaman Dr. Mahathir jadi presiden Umno beliau pernah hendak berubat penyakit rasuah politik dalam Umno dengan berbagai cara semua tidak menjadi. Tun pernah menasihat, menangis, berdoa untuk ubat penyakit rasuah politik dlam Umno semua tidak menjadi. Macam mana pengikut hendak ikut kalau nakhoda kapal pun bercakap tidak serupa bikin.

Barah rasuah dalam politik Umno sudah berada di tahap 4, dan menunggu saat untuk mati sahaja. Kerana tidak ada lagi ubat untuk merawat. Mampukah calon Umno untuk bertahan lama dengan merasuah dalam setiap kali pemilihan. Mana wang mahu diambil, sekarang lombong emas di lima negeri pakatan Rakyat sudah terkambus. Kalau dalam PRU ke 13 , pakatan rakyat memerintah di peringkat pusat, mana lagi pemimpin Umno mahu dapat. Tidak tahu lah kita kalau Umno boleh pergi menyelam di tasik yang simpan harta Qarun di Mesir.

BPR sepatutnya sudah boleh bertindak dan bawa kepada pengadilan seperti yang pernah berlaku kepada Tan Sri Isa Samad yang disabit kesalahan kerana terlibat dalam rasuah oleh jawatankuasa disiplin Umno sewaktu pemilihan Umno tahun 2004. Kenapa beliau tidak dibawa kepada pengadilan. Bahkan beliau boleh bertanding sebagai calon Naib Presiden dalam pemilihan Umno Mac 2009. Apakah negara ini ada dua undang-undang. Adakah rasuah dalam Umno tidak menjadi kesalahan, kerana mereka kebal dan bebal. Apakah ada dua takrif rasuah di negara ini?.

Sepatutnya BPR kena bertindak kerana mereka yang terlibat dalam rasuah politik ini akan mendapat wang daripada tauke-tauke yang melabur dahulu dengan janji mereka akan diberikan projek kadang-kadang mengorbankan agama dan tanah air. Mereka bukan menyuarakan suara hati ahli Umno sebaliknya mereka adalah suara tauke-tauke yang berada di belakang mereka. Mana wang mereka hendak ambil kalau bukan tauke yang memberi. Paling merbahaya sekali kalau ada ejen yahudi yang memberi wang maka bukan mustahil negara akan tergadai ke tangan yahudi untuk pada masa akan datang. Waliyazubillah.



Pihak BPR kena pandang serius soal rasuah politik dalam Umno, kerana mereka adalah parti pemerintah. Mereka yang terpilih kebanyakan akan terlibat dalam kabinet atau di tempat yang startegik dalam negara. Apa akan jadi kepada negara kalau berketuakan kaki rasuah dan pemberi rasuah. Menang bukan kerana idea dan karisma, tetapi kerana wang yang disediakan oleh pelabur pasaran hadapan apabila mereka menang nanti.

Sebab itu indeks rasuah semakin meningkat, bukan makin baik, kerana mereka yang menjadi pemimpin adalah melalui rasuah politik. Contohnya persepsi indeks rasuah (CPI) pada tahun 2006 Malaysia nombor 26 daripada 163 kemudian jatuh lagi pada tahun 2007 kepada 44 dariapda 179 negara yang diselidik. Maka secara tidak langsung apabila mereka menjadi pemimpin mereka akan meluluskan projek kepada pelabur-pelabur politik mereka dengan tawaran yang mereka kehendaki walalu pun tidak memenuhi syarat yang sepatutnya. Inilah yang paling merbahaya.

Tidak hairanlah kepada kita usaha untuk merapatkan jurang ekonomi bumiputera di negara ini gagal kerana mereka adalah suara tauke bukan suara rakyat atau parti yang mewakili orang Melayu di negara ini. Walaupun kerajaan sudah berlanja sebanyak RM1.2 trilion sejak RMK 1 sampai ke RMK 9. Namun peratus kemiskinan di negara ini masih lagi tinggi jika dibanding dengan kaum lain. Menurut Dato’ Zainal Osman bekas Timbalan Menteri Luar Bandar Dan Wilayah di parlimen pada 7/12/07 ialah kadar kemiskinan Bumiputera 8.3%, India 2.9% dan China 0.6%. Kenapa masih tinggi lagi bumiputera miskin. Siapa yang memerintah selama ini PAS atau Umno, DAP atau Umno, PKR atau Umno

Dalam Utusan Malaysia 3/11/2008 Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengesyorkan kaedah bersumpah dengan menyebut 'Wallahi, Wabillahi, Watallahi' digunakan bagi membolehkan saksi menyabitkan mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan politik wang.

Datuk Seri Adnan berkata, usaha mengatasi gejala politik wang menjadi sukar jika bukti 'tanpa keraguan yang munasabah' tidak dipertimbangkan oleh pihak bertanggungjawab. Hai Tok Nan pemimpin Umno bukan takut dengan sumpah, 1000 kali pun mereka boleh sumpah. Kalau hukum tuhan pun mereka tidak mahu ikut apalah sangat dengan sumpah. Memang sejak dua menjak Umno bermain dengan sumpah terutama sewaktu pilihanraya kecil Permatang Pauh. Selepas itu sumpah menjadi sumpah-sumpah.


Dato’ Rais Yatim bertambah yatim dalam Umno kerana gagal mendapat tempat. Dulu semasa berada dalam parti 46 sanggup membakar jambatan dalam Umno, dan tidak akan menyertai Umno kerana parti yang tidak demokratik, tidak pejuang melayu.Jenis lidah bercabang. Beliau cadang supaya jawatan Umno di tender kerana tidak tahan dengan rasuah politik. Ucapan beliau menyebabkan Datuk Seri Shahidan Kasim marah sehinggakan beliau kata Dato’ rais yang patut ditender dengan harga RM1. Dulu 46 sekarang harganya RM1 sahaja.

Saya hendak ketawa baca kenyataan Mukhriz supaya tolak amalan rasuah politik seperti yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia 3/11/2008. Mana ada pemimpim Umno hendak naik dengan air liru sahaja. Mana ada calon Umno naik dengan karisma semuanya terpaksa menggunakan ongkos. Lebih Mukhriz baik tidak usah bercakap soal rasuah politik dalam Umno, kerana rasuah politik dalam Umno dah terang lagi bersuluh. Rasuah dalam Umno macam isi dengan kuku. Biarlah bapa kamu bercakap untuk membuat reform dalam Umno, parti yang beliau sendiri menjahanamkan sewaktu beliau berkuasa dahulu. Kenapa bapa kamu tidak buat waktu dia ada kuasa. Bukankah demokrasi mati di zaman bapa kamu. Sistem kouta diadakan zaman beliau. Sekarang kenapa duduk sibuk waktu Pak Lah berkuasa. Usahlah bercakap tidak serupa dengan bikin. Pemimpin Umno tidak layak bercakap soal membenteras rasuah politik. Paku dulang paku serpih kata dekat orang dia yang lebih. Ayuh ramai-ramai ambil borang Pas, tinggalkan Umno kerana kapalnya sudah hendak tenggelam.

Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Haji Idris Haji Ahmad
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .