cipta isu liwat di Permatang Pauh, kini hangatkan hudud di Kuala Terengganu
KOTA BHARU - Masihkah anda ingat, menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos lalu, isu dakwaan liwat terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi agenda penting media harian.
Dan kali ini isu hudud pula diuar-uarkan dalam suasana menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Mungkinkah kegagalan media membantu Umno di Permatang Pauh turut berulang di Kuala Terengganu.
Inilah kelebihan yang ada pada media harian berbahasa Melayu di negara ini. Mereka sedia menggantikan tempat Umno bagi menyerang Pakatan Rakyat. Umpama lebih sudu dari kuah.
Media menjadi alat untuk menakutkan kira-kira 11 peratus pengundi bukan Islam di Kuala Terengganu terhadap PAS kerana imej hudud yang dipalitkan.
Nawaitu kedua, bagi memecahkan Pakatan Rakyat dengan melaga-lagakan DAP dengan PAS.
Sedangkan pada Wacana Perdana yang diadakan di sini 20 Disember lalu amat jelas apabila pensyarah undang-undang UIA, Prof Dr Abdul Aziz Bari meletak tanggungjawab melaksanakan hudud di bawah kerajaan pusat.
“Kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan selagi tiada pindaan yang dilakukan di peringkat parlimen,” katanya.
Lihat apa jadi dengan Enakmen Jenayah Syariah II (hudud) yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993, sehingga kini dapat dilaksanakan kerana halangan perlembagaan.
Rang Undang-Undang berkaitan hudud turut dibentang dan diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ketika ditadbir di bawah PAS pada 1999, juga terhalang daripada dilaksanakan.
Oleh itu, Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa pada wacana yang sama mencadangkan kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya membawa usul pada Perhimpunan Agung Umno bagi mendesak kerajaan pusat melaksanakan hudud.
Bagaimanapun menantu Perdana Menteri itu tidak menjawab sindiran tersebut sebaliknya memberitahu selesa dengan apa yang ada sekarang.
Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, sebagai penganut ajaran Islam, isu hudud tidak sepatutnya berbangkit kerana ia menjadi tanggungjawab semua pihak.