Ikuti Blog ini

‘Pengundi hantu’ memang wujud, PAS Tolak Kenyataan Ahmad


http://buletinonline.net/images/berita15/ichantu.png
Kuala Terengganu - PAS tetap dengan pendirian menegaskan memang wujud ‘pengundi hantu’ dan menolak kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Ahmad Said. (Gambar - antara bukti 'pengundi hantu' itu wujud - pengundi hantu di Bachok, Kelantan, yang ketakutan telah lari dan meninggalkan sekeping kad pengenalan palsu yang tidak ada 'gambar' pada PRU lalu)

Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) P.36 Kuala Terengganu, Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong berkata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said ‘menyusup dibelakang’ istilah ‘hantu’ bagi menutup kesalahan Umno-Barisan Nasional (BN) mengimpot pengundi luar dari Terengganu.

Beliau berkata Ahmad sebenarnya cuba berselindung disebalik perkataan istilah ‘hantu’,’syaitan’ dan ‘jin’ untuk mengelirukan dan memesongkan hakikat sebenarnya status pemastautin pengundi.

“Bukanlah ‘hantu’ (jin dan syaitan) yang macam MB (Menteri Besar) faham itu tetapi jika mahu berselindung disebalik perkataan itu boleh kerana apa yang dikatakan ‘hantu’ itu baik PAS, baik Umno. Kita (PAS) ada jentera dan jentera kita (PAS) buat semakan, buat penilaian dan banci dari rumah ke rumah.

“Istilah ‘hantu’ itu adalah orang yang dikatakan bahawa ‘orang’ (pengundi) itu bila dicari, disemak tidak ada di tempat yang dikatakan dia (pengundi) bermastautin.

“Tiba-tiba hari mengundi itu dia ada dan datang daripada mana kita tidak tahu dan inilah istilah yang dikatakan ‘pengundi hantu’. Bukanlah hantu, syaitan dan jin yang dikatakan itu,”katanya kepada Buletinonline ketika mengulas kenyataan Ahmad meminta pembangkang bersikap rasional kerana katanya ‘pengundi hantu’ tidak pernah wujud.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu menyifatkan negeri ini mudah bagi mengesan para pengundi kerana bukan seperti Kuala Lumpur atau negeri-negeri maju yang penghuni tinggal di apartment, kondomunium dan sebagainya.

Menurutnya, semakan dan kajian dibuat mendapati nama pengundi dalam daftar pemilih ada tetapi pada realiti sebenar tidak ada orang tersebut.

“Ini (pengundi) dalam daftar ada tetapi ‘on the ground’ realitinya tidak ada. Kita (PAS) cari alamat dia (pengundi) pun tidak ada melainkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membekalkan setiap pengundi itu dengan alamat penuh.

Lot tanah itu ada tetapi tidak ada rumah dan tidak ada orang yang tinggal di atas lot tanah itu dan ini berlaku di kampung Durian Burung, dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam.

“Keduanya, rumah-rumah orang yang didaftarkan dengan pengundi-pengundi ‘mendatang’ sehingga dalam sebuah rumah itu ada 15 hingga 20 orang gunakan satu alamat,” tegasnya.

Justeru itu, kata Dato’ Wan Abdul Muttalib tidak timbul persoalan apabila PAS menang dikatakan tidak ada pengundi hantu dan bila kalah ada pengundi hantu.

Menurutnya, istilah ‘pengundi hantu’ itu tetap wujud selama-lamanya selagi tidak dibersihkan oleh pihak berwajib kerana menguntungkan parti pemerintah (BN).

“Baik kita (PAS) menang atau kalah ‘pengundi hantu’ ini selama-lamanya ada. Tetapi kita (PAS) menang juga maknanya, kita (PAS) berjaya mengatasi pengundi hantu yang datang itu kerana sokongan orang (rakyat) yang melebihi bilangan pengundi hantu yang datang itu.

“Suka saya dedahkan, pernah berlaku dalam kawasan di Kuala Terengganu ini dan kita (PAS) telah ‘check’ (semak) satu lot tapak tidak ada rumah pun tetapi ada nama pengundi yang ‘duduk’ (tinggal) atas lot tanah itu. Buka satu, bukan dua tetapi banyak dan inilah yang dikatakan istilah ‘pengundi hantu’,” ujarnya.

http://buletinonline.net/images/berita15/wantalib1.jpgBeliau menegaskan, pengundi yang tidak dapat dikenali dan tidak dapat dikesan itu wujud selagi buku daftar pemilih tidak dibersihkan, dikemaskinikan dan diperbetulkan secara total oleh pihak SPR.

Katanya, rakyat telah mula melihat bagaimana terdapat ‘kawalan’ ke atas SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari satu masa ke satu masa yang lalu.

Menurutnya, jika perkara tersebut tidak menguntungkan parti pemerintah (BN) sudah tentu usaha menghapuskan ‘pengundi hantu’ itu telah lama diselesaikan.

Selain itu, katanya terdapat juga kes-kes orang yang telah meninggal dunia tetapi bila tiba hari pengundian didapati ada ‘orang’ lain yang membuang undi bagi pihak si mati tersebut.

Menurutnya, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2004 lalu PAS mendapati terlalu ramai ‘muka’ (pengundi) lain dan ‘muka’ yang tidak pernah dilihat sebelum itu datang mengundi.

.
Klik Untuk Lihat dan Dengar ’Pengundi Hantu’


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .