Gelihati juga hati ini membaca kenyataan Ali Rustam di dalam mSTAR bertarikh 2 Januari 2009 dimana beliau mencadangkan agar menjadikan permainan layang-layang aktiviti kokurikulum sekolah. Bertambah kelakar membaca kenyataan daripada beberapa blogger antaranya Ketua AMK Malaysia, Bro. Sam, Sebol dan juga nahdah. Semuanya mempersoalkan pandangan mengarut Ali Rustam dan saya secara peribadi juga menyokong pandangan dari rakan-rakan blogger ini.
Apa faedah yang diperolehi jika permainan layang-layang diserapkan di dalam kokurikulum sekolah. Adakah cara ini bertujuan untuk komersilkan permainan layang-layang dimata pelancong serta masyarakat global ?? Saya tidak sangka pemikiran calon Timbalan Presiden UMNO sedemikian rupa. Maybe akibat terlalu taksub untuk memperkembangkan industri pelancongan mengakibatkan pemikiran beliau jauh tersasar. Mungkin selepas ini permainan galah panjang pula yang akan diserapkan di dalam aktiviti kokurikulum sekolah. Itupun jika Hishamudin menerima pandangan yang dilontarkan oleh Ali Rustam.
Sepatutnya Ali Rustam seharusnya memikirkan masalah tulisan jawi yang semakin pupus di sekolah serta berusaha menerapkan pembelajaran bahasa jawi di dalam subjek agama Islam. Umumnya kita mengetahui bahawa bahasa Inggeris semakin diangkat dan dilambung sebaliknya tulisan jawi semakin lama semakin dipinggirkan. Sepatutnya perkara ini yang harus dibimbangkan dan bukannya isu layang-layang dijadikan keutamaan.
Untuk makluman, blogger nahdah ada menyebut, Ketua Pengarah Pelajaran menyatakan bahawa subjek akademik di sekolah rendah akan digugur dan diganti subjek baru seperti drama dan tarian.
Apa sebenarnya hala tuju sistem pendidikan kita? Apakah generasi masa depan sedang disediakan untuk menjadi seniman dan budayawan semata-mata? Nampaknya masa depan anak-anak Malaysia semakin cerah dan lebih terarah kepada industri hiburan dan jadi tidak hairanlah jika program2 realiti semakin tumbuh bagaikan cendawan. Alahai malangnya nasib rakyat Malaysia tanah airku...