KUALA LUMPUR, 31 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) bersama-sama- Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) akan mengadakan Ekspedisi Dakwah atau 'Ziarah Kasih' sempena Sambutan Malam Tahun Baru 2010 malam ini.
Program yang akan diketuai oleh Ketua DPPP, Nasrudin Hasan itu dan turut disertai oleh muslimat dan Nisa' Wilayah Persekutuan bermula jam 10 malam dan akan berakhir pada jam 12 malam.
Ziarah Kasih ini bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang pengaruh budaya barat dan ancaman kepada masyarakat selain menjalin hubungan secara terus dengan pengujung sambutan tahun baru.
Program ini juga bagi mendapatkan maklumat ringkas dan kajian ringan tentang pola kehadiran pengunjung.
Ia mensasarkan kepada anak muda dan golongan remaja bawah umur yang berada di kawasan sambutan tahun baru.
Untuk tujuan itu, DPPP dan DPPWP telah menyediakan risalah untuk diedarkan selain berbicara secara terus dengan mereka.
Tiga lokasi utama iaitu KLCC, Dataran Merdeka dan Taman Tasik Titiwangsa dipilih untuk Ziarah Kasih kerana tiga lokasi ini menjadi tumpuan orang ramai setiap kali menjelangnya tahun baru.
PAS melalui DPPP, muslimat dan Nisa' mengambil inisiatif ini pada setiap tahun sebagai satu langkah untuk mendekati dan menyampaikan risalah dakwah kepada masyarakat.
Program sebegini juga merupakan salah satu cara 'amar makruf nahi mungkar' yang menjadi perjuangan PAS.