Kerajaan diminta menjelaskan kos tinggi penyelenggaraan kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya ketika rakyat diseru berjimat ekoran pengurangan subsidi barangan keperluan.
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Mariah Mahmud (kiri) berkata, ini perlu kerana rakyat diminta mengubah cara hidup mereka bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi sekarang.
"Apabila mendidik orang ramai supaya berjimat, ia sepatutnya bermula dengan pemimpin,” kata Siti Maria Mahmud kepada wartawan di lobi parlimen hari ini.
Siti Maria mengulas jawapan bertulis di Dewan Rakyat berhubung soalan yang diajukan oleh ahli parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof, yang juga ketua Dewan Muslimat PAS yang ingin tahu penyelenggaran kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya.
Mengikut jawapan bertulis, RM48 juta dibelanjakan antara tahun 2006 hingga 2010 bagi penyelenggaran kediaman kedua-dua pemimpin negara itu.
"Begitu tinggi perbelanjaannya sedangkan kediaman itu tidak digunakan sepenuh masa,” kata Siti Zailah, yang hadir bersama. Menurut jawapan itu, hampir RM33 juta dibelanjakan untuk menyewa kediaman lain semasa tempoh itu. Sewa dibayar kepada Perbadanan Putrajaya.
RM3.5 juta lagi dibelanjakan untuk kerja baik pulih, RM10.2 juta bagi bil elektrik dan RM1.9 juta untuk bil air.
"Kami tidak tahu sebesar mana keluarga perdana menteri dan timbalannya sehingga hari ini,” kata ketua pemuda DAP Anthony Loke, yang turut hadir pada sidang media itu.
Menurut beliau jika jumlah itu dibahagikan sepanjang lima tahun dan dikira mengikut bulan, kerajaan membelanjakan RM160,000 untuk bil elektrik dan RM33,000 untuk bil air bagi kedua-dua kediaman rasmi.
"Ini cukup untuk bayar bil elektrik saya untuk selama 100 tahun dan air pula cukup untuk 6,000 orang,” katanya. -M'kini