Ikuti Blog ini

Exco agama: Yang pentingnya amanah, kata Mohd Sabu


KUALA LUMPUR, Jan 20: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu (gambar) berkata, bukan semestinya orang belajar agama sahaja yang boleh mengambil tugas Exco hal ehwal agama, tetapi perlukan seorang Muslim yang amanah, jujur dan ikhlas.
Lagipun, katanya, Pembantu Exco Hal Ehwal Agama adalah kekal dipegang Adun PAS iaitu Dr Shafei Abu Bakar (Bangi).

Beliau berkata demikian ketika menyokong hujah Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam isu jawatan exco agama kerajaan Selangor.

Semenjak Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil alih portfolio Hal Ehwal Agama yang disandang oleh bekas ahli PAS, Datuk Dr Hasan Mohd Ali yang dipecat, media Umno telah bertubi-tubi menyerang isu ini kononnya PAS tidak Islam lagi tanpa portfolio tersebut.

Menjawab serangan tersebut, Mohamad berpendapat langkah Khalid adalah tepat kerana dengan pilihanraya umum yang semakin dekat, adalah perlu untuk satu institusi yang lebih besar untuk mengawal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“(Oleh itu), adalah lebih baik untuk Tan Sri Khalid mengambil exco agama.  Bukan semestinya orang agama  sahaja yang boleh ambil tugas itu, asalkan ia amanah, jujur dan ikhlas.

"Nasib yang melanda (Datuk Seri) Jamil Khir dan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin memberitahu kita, yang penting ialah amanah dan takut pada Allah, bukannya siapa yg menduduki satu jawatan,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Kedua-dua menteri Umno yang disebut Mohamad itu kini terlibat dalam skandal dakwaan salahguna kuasa dan wang.

Jamil terpalit dengan skandal menggunakan wang zakat untuk membayar kos guamannya, manakala Muhyiddin pula tertekan sebagai menteri yang meluluskan projek RM250 untuk Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC) kepada keluarga Ketua Umno Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Awal pagi ini, Tuan Ibrahim menegaskan amanah merupakan benda terpenting dalam memegang jawatan dalam apa bidang sekalipun.

“Dalam satu peringatan Rasulullah kepada Abu Zar Radiallahu'anhu, baginda menyatakan:

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu lemah, sedangkan jawatan ini adalah amanah, dan ianya adalah penyesalan di hari akhirat, melainkan kamu menerimanya di atas kelayakan kamu dan kamu menunaikan hak kepada yang berhak menerimanya (tunaikan amanahnya).

"Jelas apa yang penting penyandang adalah mesti seorang yang amanah. Apa makna jawatan tertentu kalau diserahkan kepada golongan agama sekalipun, jika wang zakat pun boleh disalahgunakan seperti yang diledakkan Ketua Audit Negara?” kata beliau.

Menyambung hujah Tuan Ibrahim, Mohamad berkata tiada gunanya sekiranya seorang ustaz diletakkan di sesuatu jawatan “kalau dana zakat yang terang-terang salah boleh dihujahkan sebagai betul.”

“Buat apa? Tapi untuk Umno, lainlah, mereka parti yang suka tegakkan benang basah. Laporan ketua Audit Negara dah kata NFC bermasalah, masih nak buat audit baru untuk confirm audit ketua negara,” sindir beliau.

Muhyiddin yang  turut terpalit dengan isu skandal NFC telah secara ironisnya mengumumkan hasrat kerajaan melantik sebuah firma perunding perakaunan bagi tujuan menjalankan penelitian wajar untuk mengaudit projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Cadangan tersebut dibantah oleh Jingga 13 dengan alasan Muhyiddin sebagai menteri yang terlibat dalam skandal tersebut sudah tidak mempunyai kredibiliti dan integriti lagi untuk berbuat demikian kerana sudah pasti ia akan menimbulkan prejudis oleh seluruh rakyat Malaysia. -Hrkh
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .