Ikuti Blog ini

Kerajaan Kedah saman TV3


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas TV3 ekoran stesyen penyiaran itu berterusan menyiarkan berita yang disifatkan sebagai bohong dan berniat jahat.


"Pagi ini saya diberitahu TV3 ulang lagi bahawa Exco derhaka angkat sumpah, ini satu kenyataan yang tidak betul. Kita tidak tahu siapa derhaka.


"Oleh kerana dah melampau sangat, saya sudah arah Dato' Penasihat Undang-undang Negeri mengambil tindakan undang-undang kepada TV3 dalam mesyuarat Exco tadi. Kerana dia ada 'mala fide' (berniat jahat) yang berterusan," tegas Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini semalam.


Ujarnya, pada majlis mengangkat sumpah Exco Kerajaan Negeri kelmarin, beliau telah pun menerangkan kepada media bahawa beliau masih menunggu nama Exco tersebut.


"Sebenarnya saya sudah terangkan semalam, kita sedang menunggu nama Exco yang dianggap menderhaka dan orang ramai pun tak ambil kisah sangat hal itu. Tuanku Sultan pun tidak ada apa-apa. Tuanku dengan sukacita melantik semua Exco. Jadi kalau sudah angkat sumpah depan Tuanku dan Tuanku pun telah perkenan tidak timbullah isu derhaka.


"Jadi kita nampak TV3 berniat buruk, berniat jahat maka wajarlah kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang ini. Jadi Penasihat Undang-undang Negeri akan ambil langkah yang perlu untuk itu," jelasnya ringkas.


Sebelum ini stesyen penyiaran yang sama telah beberapa kali ditegur Menteri Besar atas laporan-laporan mereka terhadap Kerajaan Negeri Kedah. Antaranya berkenaan penutupan Tabika Kemas, perlantikan Pengarah Eksekutif Kumpulan Taman Teknologi Tinggi Kulim, penggunaan payung kuning di raja dan jet eksekutif, pembalakan di sekitar kawasan tadahan air dan penternakan babi di Bukit Selambau.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .